Serius kelakar bila baca kisah ni, sebab tu mama tulis cerita ni buat tatapan semua. Bukan kisah siisteri yang tersilap beli alat uji kesuburan, padahal dia mahukan alat nak uji mengandung. Kelakarnya kerana sisuami yang berasa tercabar atas kejayaan FK dan DD yang telah mengandung setelah +- 2 minggu berkahwin. Pada beliau, secara logiknya, dia yang berkahwin pada 2.11 berbanding FK pada 3.11 tentu saja isterinya juga sudah mengandung sama….
kisah keterujaan sang suami
Mama berharap agar tuan punya cerita tak marah kerana mama berkongsi kisah betapa terujanya untuk menjadi ayah di sini. Pada mama dari satu segi, cerita ni memang serius kelakar tapi cuba bayangkan jika kisah ni dibaca oleh pasangan suami isteri yang tidah sehebat dan semurah rezeki seperti FK dan DD. Tentu hati siisteri berdarah kembali dan ego sang suami tercalar semula. Kepada pasangan suami isteri yang belum mendapat rezeki seperti pasangan FK dan DD ni diharapkan bersabar, renungi dan ambil iktibar daripada kisah Nabi Zakaria yang sudah tua dan isterinya mandul tetapi berkat ikhtiar, usaha dan doanya, akhirnya Baginda dikurniakan anak juga. Pokok pangkal, usaha untuk mengandung adalah usaha bersama suami dan isteri, bukan saling menuding jari mencari kesalahan pasangan. Pada yang dah ada anak tu, jagalah amanah-Nya sebaik mungkin tau… jangan asyik nak update blog dan lepak di FB jer… ingatan untuk mama jua.
Jom baca pengajaran daripada kisah Nabi Zakaria..

Pengajaran Daripada Kisah Nabi Zakaria

Doa yang makbul ialah doa yang menggunakan suara yang perlahan, bukannya menjerit-jerit atau meraung-raung. Kuasa Allah swt tidak tertakluk kepada apa-apa peraturan (Qun Fayakun). Kadangkala Allah s.w.t sengaja menolak sesetengah permintaan kita kerana dia lebih mengetahui apa yang tersirat.
Berdoa dengan Suara yang Perlahan
Maryam [3] : (Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan. Maryam [4] : Dia merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang-tulangku dan telah putih melepaklah uban kepalaku dan aku wahai Tuhanku tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu. 
Maryam [5] : Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas agama sepeninggalanku dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari sisiMu seorang anak lelaki. Maryam [6] : Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub dan jadikanlah dia wahai Tuhanku seorang yang diredhai serta disukai.
Maryam [7] : (Nabi Zakaria diseru setelah dikabulkan doanya):Wahai Zakaria! Sesungguhnya Kami memberikan khabar yang menggembirakanmu dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya, yang kami tidak pernah jadikan sebelum itu, seorangpun yang senama dengannya.
Di dalam ayat yang lain, Allah s.w.t. berfirman:
Al-A’raf [55] : Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan.
Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.
Kuasa Allah Tidak Tertakluk Kepada Sebarang Peraturan
Nabi Zakaria bertanya: Wahai Tuhanku! Bagaimanakah caranya aku akan beroleh seorang anak, sedang isteriku adalah seorang yang mandul dan aku sendiri pula telah sampai had umur yang setua-tuanya? Maryam [8] : Penyeru itu menjawab: Demikian keadaannya janganlah dihairankan; Tuhanmu berfirman; Hal itu mudah bagiKu kerana sesungguhnya Aku telah menciptakanmu dahulu, sedang engkau pada masa itu belum ada sebarang apapun. (Maryam:9)
Kuasa Allah swt mengatasi segala peraturan, dan Allah swt boleh menyanggahi peraturan. Allah swt boleh melakukan sesuatu walaupun tanpa mengikut peraturan, misalnya Allah swt berkuasa mencipta manusia walaupun tanpa berlaku perkahwinan atau percampuran di antara lelaki dan perempuan (Nabi Isa dilahirkan melalui ibunya Maryam). Allah berkuasa menjadikan perempuan tua yang mandul mengandung (isteri Nabi Ibrahim dan Nabi Zakaria).
Ya-Seen [82] : Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman kepada (hakikat) benda itu: jadilah engkau!. Maka ia terus menjadi.
Hikmah Allah Tidak Memberikan Sesuatu Yang Kita Kehendaki.
Isteri Nabi Zakaria pada asalnya adalah mandul. Allah s.w.t tidak memberikannya anak dan Allah s.w.t. juga mengetahui bahawa anaknya Nabi Yahya akan dibunuh suatu hari nanti.
Ali-Imran [39] : Lalu dia diseru oleh malaikat sedang dia berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): Bahawasanya Allah swt memberi khabar yang menggembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama)Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah swt, dan akan menjadi ketua dan juga akan menahan diri dari berkahwin dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh.
Nabi Yahya adalah seorang yang sangat berjaya mengawal nafsunya. Beliau tidak ingin berkahwin kerana ingin menumpukan pada ibadatnya. Seorang penari istana telah jatuh cinta kepadanya namun cintanya itu hanya bertepuk sebelah tangan dan ditolak oleh Nabi Yahya. Penari itu telah menaruh dendam yang sangat mendalam kepadanya. Satu hari tetamu diraja telah datang ke istana dan raja telah meminta penari itu membuat persembahan. Penari tersebut tidak mahu menari, sehinggalah raja itu berjanji untuk menunaikan apa saja permintaannya. Lalu penari tersebut meminta kepala Nabi Yahya. Maka raja terpaksalah menyuruh pembunuh upahan membunuh Nabi Yahya. Akhirnya terbunuhlah Nabi Yahya.