Mama cnp daripada berita ini…

Calon STPM dan MUET dilarang bawa jam tangan ke dewan peperiksaan.
Oleh Nas Norziela Nasbah nasnorziela@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Calon peperiksaan mulai Penggal 2 Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2016 dan ujian Malaysian University English Test (MUET) sesi Julai 2016 dilarang untuk memakai serta membawa masuk jam tangan ke dalam bilik atau dewan peperiksaan.  
Ketua Eksekutif Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Dr Jamil Adimin berkata, larangan membawa atau memakai jam tangan ke dewan dan semasa menduduki peperiksaan bertujuan mencegah kes salah laku dalam kalangan calon.   Beliau berkata, berikutan terdapatnya alat perhubungan dan kamera yang menyerupai jam tangan mutakhir ini, calon dilarang untuk memakai atau membawa masuk ke dalam dewan peperiksaan.  
“Sehubungan itu, calon boleh merujuk pada jam dinding yang disediakan di bilik atau dewan peperiksaan sepanjang peperiksaan berlangsung,” katanya ketika dihubungi BH, semalam. Beliau mengesahkan kebenaran peraturan itu, ketika diminta mengulas lanjut berhubung surat pekeliling berkenaan yang tersebar di dalam media sosial.  Jamil berkata, tindakan melarang calon peperiksaan memakai atau membawa jam tangan adalah atas pelbagai sebab termasuklah kecanggihan teknologi atau gajet itu yang boleh menghubungkan dunia luar sewaktu peperiksaan sedang dijalankan.
“Bagi mengelakkan perkara salah laku calon, larangan membawa masuk jam tangan ke dalam dewan peperiksaan adalah tepat,” katanya yang surat pekeliling itu sudah diedarkan sejak minggu lalu. Jamil berkata, beberapa badan peperiksaan besar lain di dunia sudahpun melaksanakan peraturan yang sama.   
Beliau berkata, kegagalan calon mematuhi peraturan itu boleh menyebabkan mereka didakwa melakukan salah laku dalam peperiksaan mengikut takrifan yang tertulis pada Kaedah 3 dan Kaedah 4, dalam Kaedah-kaedah Majlis Peperiksaan Malaysia (Tatacara Dalam Kes Salah Laku) 1986 bagi Undang-Undang Malaysia, Akta Majlis Peperiksaan Malaysia 1980 (Akta 225).


Apa pandangan rakan-rakan? Situasi ni samalah seperti kerana marahkan nyamuk, habis kelambu dibakar?
Oleh sebab risau akan ‘kemampuan’ teknologi canggih masa kini, maka anak-anak dinafikan hak mereka untuk memakai jam tangan. Agak sinis senario ini kan… 

Itulah, negara lain dah lama mengamalkan ‘open book test’, malah ramai ibu bapa dah mengamalkan konsep home schooling. Namun, kita? Konon mahukan guru-guru mengamalkan konsep PAK 21, namun sistem peperiksaan masih di takuk lama! Masih menguji kemampuan daya hafalan murid-murid! Kadang-kadak produk PT3 berasa terganggu minda mereka kerana pada usia 15 tahun, mereka diuji dengan ‘open book test’ untuk sesetengah subjek atau lebih kepada kajian seperti subjek Sejarah dan Geografi, namun di peringkat SPM dan STPM kembali kepada konsep hafalan! Kejutan budaya juga kan kalau anak-anak diuji sedemikian rupa? Masuk ke Universiti pula, segala-galanya yang dihafal tu kurang digunakan kerana adanya konsep kajian lapangan bagai, tapi apabila lepasan Universiti ni melangkah semula ke sekolah untuk mengajar anak-anak murid, mereka terpaksa kembali ‘menyuap’ anak-anak tu untuk mampu menghadamkannya dalam peperiksaan! Kesian kan kita? 

Hari ini, nasib malang menimpa jam yang tidak boleh dipakai, esok lusa mungkin nasib cermin mata yang dilengkapkan dengan aksesori canggih pula tidak dibenarkan dan akhirnya, kemudahan wifi pula ditamatkan di sekolah semasa peperiksaan! Biarlah labu,.. kekadang terfikir sampai bila guru-guru dijadikan alat untuk mengeksperimen anak-anak bakal pemimpin masa depan Malaysia tercinta ni..